Cegah kehamilan tutup rezeki

Rezeki yang Allah kurniakan kepada kita bukanlah semata-mata harta atau benda yang dihasilkan di bumi saja. Rezeki juga berupa kesihatan, kekuatan tubuh, keterampilan atau gerak langkah dalam kehidupan. Mungkin anda pernah menyebut: “Saya tidak dapat memberi sumbangan kerana saya tiada wang.” 

Sebenarnya menyumbang boleh dengan pelbagai cara seperti tenaga, ilmu pengetahuan dan lain-lain yang semuanya untuk kepentingan masyarakat. Allah SWT berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 3 yang bermaksud: “Dan nafkahkanlah sebahagian rezeki yang Kami anugerahkan kepada mereka.” Maka erti rezeki pada ayat berkenaan iaitu segala apa yang dapat diambil manfaat oleh masyarakat. 
Mengenai mencegah kehamilan, Allah SWT berfirman dalam surah al-Israk ayat 31 yang bermaksud: “Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana takutkan kepapaan. Kamilah yang memberikan rezeki kepada mereka dan kepada kamu...”. 
Firman-Nya lagi dalam Surah al-An’aam ayat 151 bermaksud: “Dan hendaklah kamu berbuat baik kepada ibu bapa dan janganlah kamu membunuh anak kamu kerana kepapaan. (Sebenarnya) Kamilah memberi rezeki kepada kamu dan kepada mereka.” Apabila Allah mengurniakan anak, sebenarnya ada rezeki Allah tentukan untuk anak terbabit. 

Namun ada manusia yang tidak inginkan anak dengan mencegah kehamilan dengan alasan tidak bersedia dari segi mental dan kewangan. Orang seperti ini biasanya takut hidup susah dan takut kekurangan makan kerana dibebani kehadiran bayi. Mereka tidak sedar dengan melakukannya akan menghalang rezeki mereka dan turut menahan rezeki anak. 

Kita banyak melihat orang yang meninggal dunia lalu meninggalkan anak. Hari berganti hari dan zaman pun berubah. Ternyata, anak yatim terbabit mencapai kedudukan yang tinggi dan mencapai puncak kejayaan dalam masyarakat. Mungkin kalau keluar-ganya masih hidup, anak berkenaan tidak akan mencapai kejayaan seperti itu. 

Justeru, biarlah takdir Allah berjalan seperti semestinya. Kerjakanlah apa yang lebih utama dan lebih bererti dalam kehidupan ini. Kenyataan membuktikan betapa ramai anak yang hidup dalam pemeliharaan bapanya, gagal sehingga ada yang menjadi penganggur dan meresahkan masyarakat. Sebenarnya urusan rezeki adalah urusan Allah. 

Jadi, janganlah kita terlalu takut mengenai rezeki atau kurang makan sehingga sanggup mencegah kehamilan. 

Sekiranya kita miskin, mengadulah kepada Allah seperti dalam sebuah hadis yang diriwayatkan Abu Daud daripada Ibnu Mas’ud RA, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang tertimpa kemiskinan, kemudian dia mengadu kepada sesama manusia, maka tidak akan tertutuplah kemiskinan itu. Dan sesiapa yang mengadu kepada Allah, maka Allah akan memberinya rezeki baik dengan segera mahupun lambat

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen anda: