3420 MATI Akibat Tidak Amalkan Gaya Hidup Sihat


Kredit: SinarHarian.com.my

MUAR – Seramai 3,420 pesakit kronik tahun lalu, meninggal dunia berikutan kegagalan mereka mengawal tabiat makan dan tidak mengamalkan gaya hidup sihat.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan Kesihatan negeri, Dr Robia Kosai berkata, ‘pembunuh’ terbesar adalah penyakit berkaitan pernafasan dengan mencatatkan 1,226 kematian.
Menurutnya, ia diikuti penyakit kanser dengan 810 kematian, jantung dengan 637 kematian dan kencing manis dengan 83 kematian.
“Penyakit-penyakit ini tidak berjangkit tetapi bilangan kematian akibat penyakit ini sangat membimbangkan sejak kebelakangan ini.
“Kecuali untuk diabetes, penyakit lain telah ‘membunuh’ seorang kanak-kanak kecil berusia satu tahun,” katanya ketika menyampaikan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) di Parit Jawa, di sini, kelmarin.
Dr Robia berkata, negeri ini mencatatkan sebanyak 131, 287 kes terbaru penyakit diabetes tahun lalu, yang mana 98,864 daripada mereka diberikan rawatan si hospital dan klinik seluruh Johor.
Katanya, penyakit darah tinggi juga mencatatkan bilangan tinggi dengan 129,965 kes baru tahun lalu dengan 117,628 dianggap sebagai kes-kes yang aktif.
“Selain penyakit kronik, negeri ini juga prihatin terhadap peningkatan bilangan rakyat terutama anak-anak muda yang mempunyai berat badan berlebihan.
“Seramai 8,012 rakyat negeri ini diklasifikasikan sebagai ‘sangat gemuk’ dan menggesa keluarga supaya mematuhi diet dan mengurangkan penggunaan gula,” katanya.
Katanya, lelaki berusia bawah 40 tahun lebih cenderung untuk menghidap penyakit berbanding wanita. Ia dibuktikan apabila 54 lelaki meninggal dunia akibat penyakit strok berbanding 21 daripada golongan wanita.
Menurutnya, memandangkan bilangan kematian akibat penyakit kronik semakin meningkat mendorong kerajaan negeri mengambil keputusan untuk melancarkan beberapa program berkaitan kesihatan termasuk tatacara pemakanan sihat.
“Kita akan periksa kanak-kanak sekolah dua kali setahun untuk memantau obesiti dan mereka yang mempunyai masalah berat badan berlebihan akan dirujuk kepada Jabatan Kesihatan.
“Kami juga akan menganjurkan program-program yang berkaitan dengan diet yang sihat dan menggesa semua orang untuk mengawal tabiat makan mereka,” katanya.

Bisikan maut kanser


Oleh Suzan Ahmad
suzan@bharian.com.my
2012/03/18

pix_gal0

Sukar terima hakikat, bayang kematian dorong pesakit kanser bunuh diri 


SEBAIK seseorang disahkan menghidap barah, perkara pertama yang terpacul di minda semestinya kematian.


Barah adalah satu kumpulan penyakit besar. Penyakit ini boleh dikatakan merangkumi atau membabitkan semua jenis organ manusia termasuk kulit iaitu organ terbesar pada tubuh.


Mengikut statistik, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), barah adalah punca kematian terbesar di dunia berbanding jenis penyakit lain. Pada 2008 dianggarkan lapan juta kematian akibat barah direkodkan. Manakala tahun lalu, sejumlah 10 juta kematian dilaporkan. 


Perunding Psikologi & Hipnoterapi Klinikal Pusat Perubatan Prince Court, Dr Daniel Zainal Abdul Rahman, menjelaskan, apabila memperkatakan mengenai barah dan kaitannya dengan kemurungan, ia sebenarnya satu isu yang sangat besar. 

“Masalah psikologi pesakit barah biasanya akan bermula dengan kemurungan dan keduanya keresahan. Bagaimanapun kedua-duanya biasanya bergabung. 

“Perkara pertama yang akan timbul ialah keresahan dan ia boleh dipaparkan secara psikologikal. Misalnya, pesakit merasa resah, tidak tentu arah dan risau. 
“Tetapi semua gejala keresahan lama-kelamaan akan membabitkan fizikal kerana pemikiran mencetuskan perasaan dan perasaan mencetuskan perlakuan,” katanya kepada SIHAT. 

Dr Daniel Zainal berkata, berikutan itu, dalam suasana rawatan yang ideal terutama di luar negara, sebaik pakar perubatan berdepan pesakit barah, sebaiknya wujud sepasukan doktor termasuk doktor yang bertanggungjawab, pakar psikiatri dan petugas kebajikan sosial yang sentiasa memantau perkembangan mental, emosi dan fizikal pesakit. 

Dari segi langkah pencegahan, perkara pertama yang perlu dilakukan ialah membawa semua sistem sokongan pesakit yang ada. Pakar akan menilai dari segi apakah sistem sokongan yang ada. Ini kerana asas kehidupan manusia sangat memerlukan hubungan interpersonal. Seperti mana yang kita semua sedar, hubungan antara manusia boleh menjadi madu dan racun. 

Dr Daniel Zainal berkata, keadaan ini cukup penting kerana pesakit hanya akan berjumpa doktor sekali sekala. Namun, sistem sokongan seperti orang tersayang, ahli keluarga, saudara mara, rakan karib, persatuan dan sukarela dari badan bukan kerajaan (NGO) akan berdepan pesakit setiap hari. 

Sehubungan itu, katanya, tahap mental, emosi dan fizikal sistem sokongan pesakit sangat mustahak dalam menjayakan usaha ini. Sistem sokongan inilah yang akan berdepan dengan setiap perubahan dan perkembangan negatif atau positif pesakit. 

Bayangkan trauma yang dilalui bukan saja pesakit barah malah HIV/Aids, yang bukan saja berdepan dengan maut, malah kebanyakan daripada mereka perlu menerima hakikat disisih keluarga. Di sinilah peranan sukarelawan dari badan bukan kerajaan sebagai sistem sokongan cukup penting. 

Menurut Dr Daniel Zainal lagi, pesakit yang baru disahkan menghidap barah lazimnya melalui beberapa peringkat konflik emosi bermula dengan kejutan dan penafian. 

“Pada peringkat ini pesakit merasa hidup seolah tidak bermakna lagi. Semuanya seolah terhenti. Pelbagai persoalan timbul seperti bagaimana hidup perlu diteruskan, jika ia boleh diteruskan, mengapa ia perlu diteruskan. Bagaimanapun, kejutan dan penafian membantu pesakit bertahan dan menjadikan survival sesuatu yang munasabah.

“Rasa marah pula adalah peringkat penting dalam proses penyembuhan. Perlu diingat perasaan marah tiada hadnya ia bukan saja ditujukan kepada rakan, doktor, keluarga, diri sendiri dan orang tersayang tetapi juga Tuhan,” katanya. 

Beliau berkata, pada tahap seterusnya, pesakit mula tawar menawar dengan Tuhan, sebagai contoh, jika boleh ambil nyawa dia selepas anak berkahwin atau tamat pengajian dan sebagainya. 

“Selepas tawar menawar, perhatian beralih kembali kepada hakikat sebenar termasuk kesakitan dan kematian. Peringkat ini dipanggil tekanan. 

“Akhirnya pesakit akan melangkah ke peringkat menerima atau reda. Menerima bermaksud akur dengan realiti bahawa pesakit perlu melalui penyakit ini bersama dengan semua kemungkinan yang hadir, sama ada suka atau tidak,” katanya. 

Dr Daniel Zainal berkata, pakar juga perlu mengesan keresahan tekanan di kalangan penjaga dan anggota keluarga. 

“Disebabkan itulah pihak hospital seboleh mungkin cuba membabitkan seluruh anggota keluarga bagi menjelaskan kepada mereka bahawa barah adalah prospek jangka panjang yang memberikan bebanan emosi yang tinggi kepada penjaga. 

“Keresahan tekanan juga dipengaruhi oleh jenis barah yang dihidapi sebagai contoh barah tulang yang diketahui paling menyakitkan,” katanya. 

Pakar psikologi menyaring pesakit barah yang cenderung untuk membunuh diri dengan melihat beberapa faktor. Pertama, gejala iaitu kualiti gejala tekanan apabila pesakit mula bercakap mengenai rasa tidak berguna, tiada harapan untuk hidup di dunia. Kedua, terfikir untuk membunuh diri dan ketiga, mula merancang dengan mengatur urusan harta serta hutang piutang. 

Keempat, pesakit bercakap secara langsung mengenai kaedah dan tahap perancangan; kelima, kurang sistem sokongan sosial, diikuti sumber kewangan; mengalami penyakit kronik lain dan akhirnya peringkat kanser iaitu merujuk kepada darjah kesakitan yang dialami, faktor personaliti seperti cepat mengalah atau pejuang, tahap spiritualiti atau kepercayaan pada agama dan apakah ia membabitkan menyalahgunakan dadah dan alkohol. 

Sekiranya pesakit ada menunjukkan faktor atau gejala berikut, perhatian sewajarnya perlu diberikan terutama menerusi penjaga dan ahli keluarga. 

Perlu ditegaskan bahawa tekanan yang tidak dirawat juga terdedah kepada risiko membunuh diri. Ini bermakna kecenderungan membunuh diri tidak dipengaruhi satu faktor tertentu sebaliknya gabungan beberapa faktor. Apabila sampai tahap seseorang merasa harapan sudah tiada dan tiada jalan lain lagi, pakar akan memberi nasihat dan pilihan serta cara berdepan dengan masalah itu. 


Semangat baru selamatkan J 

SEBELUM J mengambil keputusan untuk mengakhiri hidupnya, dia lebih awal memberikan barangan berharga kepada orang tersayang. Selain itu, J memastikan suaminya mudah mencari barang di dapur dan meneliti album gambar yang menyimpan memori 42 tahun mereka bersama ketika mengelilingi dunia. 

Kehidupan saat itu sungguh indah, dan bagi diri J yang menginjak usia 68 tahun, dia mahu mengakhirinya sebelum barah otak yang dihidapinya memusnahkan terus fikirannya. Pada Julai tahun lalu, J menelan dos Valium dan Dramamine yang banyak bersama alkohol akibat tidak tahan lagi dengan kesakitan yang ditanggung sejak tumor di tahap empat itu terus merebak. 

J, bekas Naib Pengerusi sebuah syarikat pernah menjalani pembedahan, radiasi dan kemoterapi selama setahun. Namun, tumor barah semakin melarat dan dia ada tempoh kurang enam bulan untuk hidup. J memberhentikan rawatan kemoterapi dan mengucapkan selamat tinggal. Dia mahu mati mengikut kemahuannya di rumah dengan minda yang masih berfungsi. 

Ketika itu, J menggenggam tangan suaminya dan masih berbual-bual dengannya sehingga dia mula tidak sedarkan diri di ruang tamu kediaman. Pernafasannya mula perlahan dan suaminya tahu, isterinya memilih untuk mati. Namun, biarpun merelakan, melihat keadaan isterinya pada ketika itu lebih berat daripada apa yang disangka. 

Rupanya, secara kebetulan jururawat dari hospital yang merawat J berada berhampiran kediaman dan mahu singgah seketika untuk menjenguk keadaan J selepas menghentikan rawatan kemoterapi. Suaminya tahu itu bukan satu cadangan yang baik, tetapi dia sebenarnya sangat memerlukan seseorang untuk meluahkan perasaan ketika itu. Dia memberitahu apa yang sedang berlaku dan membenarkan petugas itu datang. 

Tidak lama kemudian, jururawat itu tiba diikuti seorang pekerja sosial dari sebuah agensi. Panggilan kecemasan dibuat dan J akhirnya dibawa ke hospital dan berjaya diselamatkan. 

Dalam situasi ini, J sebenarnya sudah menandatangani dokumen menjelaskan niat terakhirnya untuk mati dengan cara membunuh diri. Tetapi juruteknik perubatan kecemasan tidak dapat membenarkan perkara itu berlaku. Dia melakukan apa yang patut dilakukan oleh pasukan perubatan dalam keadaan kecemasan. 

Menurut suaminya, ketika masih sihat, J adalah seorang yang sangat ceria, aktif bermain tenis, mengembara, gemar membaca dan bermain teka silang kata. Namun sejak mengalami tumor otak, J mengalami kesukaran untuk berjalan dan terus hilang selera makan. Malah, J juga sukar untuk fokus ketika membaca. Namun itu bukan alasan untuk membenarkan perbuatannya. 

Selepas berehat beberapa hari di hospital, J akhirnya dibenarkan pulang. Dia kembali menjalani kemoterapi selain belajar mengenai pengurusan perubatan, kesakitan, mengurangkan gejala dan mendapatkan sokongan emosi. 

Kini J percaya, jika pesakit mendapat sokongan dari segi pengurusan kesakitan dan gejala serta psikososial yang selayaknya serta mudah didapati, isu membunuh diri tidak akan timbul.


Gastrik: Sakit gaya hidup


Oleh Suzan Ahmad
suzan@bharian.com.my
2012/04/08

pix_gal0

Masa makan tak teratur, kerap ambil ubat tahan sakit punca gastrik

GASTRIK sering dikaitkan dengan keupayaan berpuasa. Namun, hakikatnya, penyakit ini boleh sembuh sepenuhnya kerana sifat semula jadi lapisan membran perut yang mampu membina semula sel lapisan yang terhakis dengan bantuan ubat dan rawatan betul.


Gastrik terjadi apabila selaput dalam perut mengalami keradangan atau membengkak. Jenis Gastritis yang menyerang dan sembuh dalam waktu yang singkat dipanggil gastritis akut. Manakala gastrik berpanjangan dan kerap sehingga bertahun-tahun adalah gastritis kronik.

Apabila terlalu banyak asid dan lapisan pelindung mula terhakis, pesakit akan mula mendapat gastritis. - Dr Sukumar Nadesan, Pakar Bedah Am dan Gastro Intestinal, KPJ Tawakkal Specialist Hospital

Pakar Bedah Am dan Gastro Intestinal, KPJ Tawakkal Specialist Hospital, Dr Sukumar Nadesan berkata, jika radang perut dibiarkan berlarutan, ia boleh menjadi bentuk gastritis yang lebih serius iaitu ulser.

“Keadaan ini boleh menjejaskan perut dan deodenum (usus kecil). Ada beberapa terminologi lain seperti gastritis, gastrodeodonitis dan juga reflux (jeluak).

“Apapun, ia masih berada dalam satu lingkungan spektrum penyakit. Masalah utama penyakit ini adalah asid. Keduanya kadangkala ada banyak asid dalam perut dan ia dilindungi oleh satu lapisan membran.

“Apabila terlalu banyak asid dan lapisan pelindung mula terhakis, pesakit akan mula mendapat gastritis,” katanya ketika ditemui Sihat baru-baru ini. 
Lazimnya, kebanyakan mengalami gastrik akibat jangkitan bakteria (Helicobacter pylori). Keduanya, amalan pemakanan seperti terlalu kerap makan di luar, masa makan yang tidak teratur, jenis makanan seperti pedas, berempah, makan terlalu banyak dan tabiat buruk seperti minum arak atau merokok.

Mengamalkan pengambilan ubat penahan sakit untuk merawat demam, sakit tulang, sakit belakang selain tekanan hidup dan tempat kerja turut menyumbang kepada penyakit gastrik.

Antara gejala lazim yang dialami adalah sakit pada bahagian hulu hati dan pedih hingga naik ke bahagian dada, loya, muntah, kadangkala sembelit dan cirit birit. Ramai juga pesakit gastrik yang mengaitkannya dengan banyak angin dan kembung serta hilang selera makan.

Sikap suka melengah-lengahkan rawatan kerana takut menyebabkan keadaan menjadi bertambah serius dan akhirnya pesakit terpaksa menerima rawatan kecemasan iaitu pembedahan. Kes ini biasanya membabitkan pesakit yang mendapat serangan gastrik waktu malam selepas parti atau tidak dapat tidur akibat jeluak asid.

Komplikasi gastrik yang melarat sehingga menjadi ulser antaranya muntah, muntah darah atau buang air besar berwarna gelap akibat pendarahan yang keluar melalui najis. Ada juga kes yang serius sehingga dinding perut bocor akibat ulser dan memerlukan pembedahan segera.

Dr Sukumar menjelaskan, ulser yang dibiar terlalu lama boleh menyekat saluran perut. Ini kerana apabila ulser menjadi kronik, ia akan menyempitkan saluran dekat bahagian pylorus. Bgaimanapun dengan teknologi perubatan yang semakin moden, peringkat akhir ulser dan gastrik masih boleh disembuhkan tanpa pembedahan.

Ketika ini, jika pesakit datang dengan pendarahan, pakar akan melakukan skop, menyuntik ubat dan terus memberhentikan pendarahan. Jika ia diakibatkan bakteria, antibiotik diberikan untuk membunuh bakteria. Ini kerana satu sifat semula jadi perut yang menakjubkan ialah ia mampu membina semula sel selepas berlaku hakisan pada lapisan perut dengan bantuan ubat tanpa meninggalkan parut.

Ujian pula boleh dijalankan iaitu dengan mengetahui latar belakang pesakit di mana ia boleh disahkan secara diagnosis termasuk endoskop, ujian darah, ujian pernafasan, ujian keasidan dan imbasan sinar-x.

Berbanding gastrik kronik, jenis gastrik akut iaitu mereka yang sakit disebabkan oleh bakteria Helicobacter pylori atau berpunca dari pengambilan ubat tahan sakit lebih mudah dirawat. Ini kerana pengamal perubatan boleh mengesan punca serangan itu. Ini bermakna doktor akan merawat gastrik dan mengelak punca penyebab gastrik berkenaan.

Pesakit gastrik kronik, (kerap mendapat serangan gastrik seperti setiap dua bulan) sukar untuk dirawat. Lazimnya sebagai rawatan peringkat pertama pesakit akan dirawat dengan pengambilan ubat-ubatan seperti ubat kapur yang berfungsi untuk melemahkan asid.

Rawatan seterusnya jika langkah pertama kurang berkesan ialah pengambilan H2 Blocker untuk mengurangkan asid sehingga 50 peratus. Kaedah ini popular lima tahun lalu sebelum Proton Pump Inhibitors (PPI) yang lebih kuat dosnya diperkenalkan. Hanya dengan sebiji PPI setiap hari, sehingga 90 peratus asid mampu dikurangkan. 

Biarpun kini PPI dianggap sebagai ubatan utama, kadar tersebar luas, penyakit gastrik yang semakin meningkat terutama dengan pembangunan dan arus pemodenan yang pesat seharusnya membimbangkan semua. Banyak perkara yang perlu diubah terutama di kalangan pesakit gastrik kronik kerana ia membabitkan gaya hidup yang sekian lama diamalkan.

“Perubahan gaya hidup adalah kunci utama kepada kehidupan yang sihat dan bebas dari tekanan. Makan pada waktunya, memilih diet yang seimbang, berhenti merokok dan minum arak serta bersenam adalah cara terbaik untuk kekal cergas dan sihat. 

Pesanan saya kepada pesakit yang mengalami penyakit ini, janganlah terlalu tertekan dan merasa terdesak untuk mendapatkan penawar secara serta merta. Kadangkala agak sukar untuk sembuh secara serta merta, namun anda perlu bersabar, makan ubat dan ikutlah saranan doktor,” kata Dr Sukumar. 

Lina ubah gaya hidup elak gastrik

TUGAS sebagai pegawai perhubungan awam di sebuah institusi kewangan di ibu negara menuntut fokus dan komitmen yang cukup tinggi terutama dari segi masa.

Ibu beranak tiga yang selesa disapa Lina ini, mengakui rutin hariannya yang terlalu rencam termasuklah menguruskan keluarga, anak-anak, suami dan kerjaya. Ini menyebabkan dia terlupa tanggungjawabnya terhadap diri sendiri terutama dari segi pemakanan dan kesihatan.

“Saya tidak pernah ada masalah ini ketika di bangku sekolah. Tetapi pernah ada beberapa orang rakan sebaya yang mengalaminya ketika belajar di sebuah sekolah berasrama penuh dulu, jadi saya faham dengan keadaan itu,” katanya ketika ditemui Sihat baru-baru ini.

Satu perkara yang diakui Lina, dia tidak pernah makan tepat pada waktunya sejak dari bangku sekolah lagi. Selain itu, Lina sukakan menu yang pedas dan berempah serta liat untuk bersenam. Malah selepas mempunyai tiga anak, Lina merasa dia tidak perlu bersenam mahupun melakukan apa-apa aktiviti fizikal kerana berat badannya kembali kepada asal.

“Semuanya berubah selepas saya berusia 35 tahun. Ketika itu saya sibuk dengan urusan kerja dan kerap ke luar negara atas urusan pejabat. Jadual yang ketat menjadikan waktu makan saya semakin kacau bilau, tambah pula saya jenis yang amat cerewet dengan makanan.

“Pada mulanya, saya kerap sendawa, merasa pedih di bahagian hulu hati, loya dan seperti hendak muntah. Namun saya abaikan saja kerana ia hilang dengan sendirinya selepas itu. Keadaan ini saya sedari selepas melahirkan anak ketiga,” katanya.

Lina berkata, beberapa minggu kemudian, semua gejala yang dialami itu datang serentak selepas bersarapan pagi dengan suami diikuti dengan rasa memulas-mulas dan dicucuk-cucuk dan seperti dihiris di dalam perut.

“Mulanya saya sangka ia disebabkan keracunan makanan berikutan saya cirit birit dan muntah-muntah. Namun, rasa sakit semakin menjadi-jadi sehingga saya tidak dapat berdiri tegak dan hanya mampu membongkokkan badan menahan kesakitan. Keadaan ini agak pelik kerana kami sekeluarga makan makanan yang sama pagi itu.

“Suami saya mula panik kerana wajah saya sangat pucat dan mula berpeluh-peluh. Tanpa berlengah lagi, kami mencari klinik terdekat untuk rawatan segera. Di klinik, suami terpaksa mendukung saya kerana terlalu lemah dan dalam kesakitan,” katanya.

Ketika berbaring untuk pemeriksaan, doktor yang merawat mula bertanya latar belakang kerja, kesihatan dan usia. Doktor juga menekan bahagian perut yang sakit dan bertanya berapa lama keadaan ini berlarutan.

“Jelas sekali saya bukan keracunan makanan sebaliknya mengalami gastritis akibat terlalu banyak asid dalam perut sehingga ia menghakis lapisan membran dinding perut. Bagaimanapun saya masih bernasib baik kerana ia tidak melarat menjadi ulser yang lebih serius.

“Keadaan ini berlaku kerana amalan gaya hidup yang tidak baik sejak sekian lama. Doktor memberikan saranan yang terbaik dari segi amalan pemakanan dan rutin senaman mudah serta beberapa jenis ubat makan dan minum, ubat angin dan ubat sakit perut,” katanya.

Lina berkata, beliau kini sentiasa memastikan bersarapan setiap hari tepat pada waktunya dan sentiasa menyediakan makanan sampingan seperti biskut, roti, bun dan buah sebagai bekalan di dalam beg sekiranya tidak berkesempatan untuk keluar makan tengahari atau malam.


Platform Produk Dropship dan Borong Malaysia

Barah darah


Oleh Suzan Ahmad
suzan@bharian.com.my
2012/05/20


  • Foto
  • Foto

Demam, letih dan hilang selera makan boleh jadi simptom lymphoma

RASA demam, letih, lesu, kurang selera makan dan hilang berat badan secara mendadak mungkin dianggap tanda penyakit biasa. Namun, berjaga-jaga kerana ia mungkin gejala awal kepada penyakit lebih serius seperti barah darah yang dikenali sebagai Lymphoma.


Lymphoma adalah sejenis kanser darah yang bermula dari sel sistem imun dipanggil lymphocytes. Seperti kanser lain, lymphoma berlaku apabila lymphocytes berada dalam keadaan pertumbuhan sel yang tidak terkawal dan berganda.

Individu terbabit juga mengalami bengkak pada nodus limfa di leher, bawah lengan, perut dan groin, demam atau jangkitan yang tidak dapat dijelaskan, sakit dada, perut atau tulang yang tidak dapat dijelaskan serta berat badan turun mendadak. - Dr Abdul Aziz Baba, Perunding Perubatan Dalaman Hematologi & Onkologi, Pusat Perubatan Prince Court

Lymphocytes adalah sel darah putih yang mengalir ke seluruh tubuh menerusi bendalir yang dikenali sebagai limfa. Ia diedar oleh rangkaian saluran yang membentuk sistem limfa iaitu sebahagian daripada sistem imun. Sistem limfatik (berfungsi melawan jangkitan atau anasir yang membahayakan tubuh) juga merangkumi nodus limfa yang wujud di seluruh tubuh bagi menyaring limfa yang mengalir melaluinya.

Nodus limfa bengkak dan menjadi lembut apabila sejumlah besar organisma mikrobial terperangkap di dalamnya. Ini menunjukkan wujudnya jangkitan. Lymphocytes tidak normal terkumpul di dalam satu atau lebih nodus limfa atau tisu limfa seperti limpa atau tonsil dan lama-kelamaan membentuk kelompok sel yang dipanggil tumor.

Tumor tumbuh dan merebak di kawasan sekitar tisu dan organ, seterusnya mengganggu bekalan oksigen dan nutrien. Jika lymphocytes tidak normal bergerak dari satu nodus limfa atau pada organ lain, kanser akan merebak. 

Perunding Perubatan Dalaman Hematologi & Onkologi Pusat Perubatan Prince Court (PCMC), Dr Abdul Aziz Baba, berkata dalam kes pesakit lymphoma yang beralih kepada leukemia, pesakit perlu faham bahawa leukemia bermula dari darah dan lymphoma pula dari nodus limfa. Tetapi ada juga lymphoma yang bermula dari darah dan ia dikenali sebagai lymphoma leukemia tetapi keadaan ini masih tidak begitu jelas. 
Dr Abdul Aziz berkata, leukemia atau lymphoma tidak akan menunjukkan sebarang gejala pada peringkat awal. Bagaimanapun, lama kelamaan apabila ia semakin merebak leukemia dan lymphoma boleh menghasilkan gejala yang seakan sama.

“Pesakit akan merasa lesu, berpeluh waktu malam, sakit atau bengkak di bawah rusuk, terutama bahagian kiri, sesak nafas, ruam atau gatal pada kulit.

“Individu terbabit juga mengalami bengkak pada nodus limfa di leher, bawah lengan, perut dan groin, demam atau jangkitan yang tidak dapat dijelaskan, sakit dada, perut atau tulang yang tidak dapat dijelaskan serta berat badan turun mendadak,” katanya kepada Sihat.

Beliau berkata, sehingga kini, banyak kes lymphoma masih tidak dapat dijelaskan puncanya.

Bagaimanapun, keadaan dan karakter tertentu mampu mempertingkatkan risiko penyakit ini. Antaranya keadaan yang melemahkan sistem imun termasuk rheumatoid arthritis, psoriasis dan HIV dan AIDS. Selain itu, kecelaruan imun yang diwarisi seperti hypogammaglobulinemia atau sindrom Wiskott-Aldrich, jangkitan lalu seperti virus Epstein-Barr serta pemindahan organ yang membabitkan pengambilan dadah yang melemahkan sistem imun, usia, bangsa dan jantina.

Ini termasuk individu yang memiliki sejarah keluarga penghidap lymphoma dan pernah menjalani rawatan untuk kanser jenis lain di masa lalu.

Bagaimanapun, tidak semua orang yang mengalami salah satu faktor risiko ini akan mendapat lymphoma dan tidak semua penghidap lymphoma akan mengalami faktor risiko yang dinyatakan.

Secara amnya, ada dua jenis lymphoma iaitu Hodgkin lymphoma (HL) dan Non-Hodgkin lymphoma. Hodgkin lymphoma adalah sejenis lymphoma tertentu dengan potensi sembuh yang tinggi manakala Non-Hodgkin lymphoma (NHL), yang lebih biasa berlaku apabila sistem limfatik menghasilkan limfatik yang tidak normal. Berikutan ada lebih 30 sub jenis lymphoma, rawatan dan prognosis berbeza berdasarkan sub jenis kanser darah ini.

Menurut statistik, di Amerika Syarikat (AS) setiap tahun dianggarkan 54,000 orang didiagnosa dengan NHL dan 7,000 kes HL. Ia adalah kanser darah paling lazim di AS sebaliknya Kesatuan Eropah (EU) menyaksikan lebih 50,000 kes NHL setiap tahun. 

Dari segi rawatan, pakar perubatan akan menjalankan semua pemeriksaan dan ujian sebelum menentukan tahap penyakit dan jenis rawatan sesuai. Antara rawatan yang disediakan adalah terapi biologik atau imunoterapi, kemoterapi, terapi sasaran, terapi steroid, terapi radiasi, pemindahan sel stem dan pembedahan.

Menariknya, sesetengah pesakit leukemia dan lymphoma tidak memerlukan rawatan. Ada juga sesetengah pesakit yang tidak memerlukan rawatan segera tetapi perlu menjalani terapi selepas beberapa tahun serta ada juga yang memerlukan rawatan segera. Semua rawatan yang diberi bergantung penuh kepada kriteria pesakit, tahap penyakit, jenis lymphoma dan tahap kesihatan pesakit ketika itu.


Bahaya RESDUNG : Penderita hilang Penglihatan






Di Petik dari MAJALAH KELUARGA
Sudah empat tahun Rahim menderita akibat penyakit hidungnya. Setiap
hari merupakan hari yang penuh dnegan trauma dalam hidupnya…. Saban
pagi sebaik sahaja Rahim bangun dari tidur, hidungnya akan mula
meragam.

Seperti biasa sesudah Rahim mandi pagi, hidungnya akan tersumbat.
Apabila tersumbat, mulalah dia bersin dan bersinnya tidak berhenti-
henti. Ketika memandu ke pejabat, hidungnya berasa gatal dan hingus
mengalir tak terkawal. Matanya mula gatal-gatal, merah berair dan
sukar baginya untuk memandu. Adakalanya sehari suntuk Rahim tidak
dapat menumpukan sepenuh perhatian pada tugas-tugas dipejabat. Dia
juga kerap berasa sakit kepala yang teramat sangat. Dan berasa
seluruh badannya tidak bermaya langsung. Meniti hari-hari hidupnya
cukup terseksa buat Rahim dan penyakit ini buat dirinya merana.

Senario seperti ini bukannya asing dikalangan masyarakat kita.
Penyakit yang dihidapi Rahim dikenali sebagai resdung dikalangan
masyarakat tempatan. TAHUKAN ANDA……….. Penyakit resdung ini
menyebabkan kira-kira 10% daripada penduduk di Negara ini merana?????

Pada tengkorak kepala kita terdapat ruang-ruang udara kosong yang
dinamakan sebagai ” Sinus “. Resdung adala radang atau proses
inflamasi pada lapisan dalam ruang-ruang udara ( sinus ) Justeri itu
penyakit resdung juga dikenali sebagai ” sinusitis ”


PUNCA TERJADI RESUNG :
Terdapat beberapa factor dan penyakit lain yang dipercayai boleh

mengakibatkan seseorang menghidap resdung. Antaranya yang utama
ialah :

1) Jangkitan Kuman seperti bakteria dan virus yang berulang

kali pada rongga hidung yang kerap menyebabka menyebabkan seseorang
endpat demam dan selsema. Malah ketumbuhan dari dalam hidung
seperti ” polyps ” dan kanser turut dikaitkan dengan penyakit
resdung.

2) Struktur hidung yang tidak normal, yang mungkin diakibatkan

oleh tulang hidung retak atau patah ketika kemalangan boleh
menyebabkan seseorang mendapat penyakit resdung. Bagi sesetengah
orang yang mempunya struktur tulang hidung yang ” senget ” tidak
lurus ( deviated nasal septum ), risiko untuk mendapat resdung
adalah tinggi.

3) Selain daripada itu, kerosakan atau sakit gigi dibahagian

gusi atas boleh menyebabkan resdung. Kerosakan atau sakit gigi
dibahagian gusi atas boleh menyebabkan resdung. Kuman atau bacteria
yang berasal dari kerosakan atau sakit gigi boleh merebak dengan
mudah ke rongga sinus dan menyebabkan resdung. Hal demikian kerana
kedudukan gigi gusi atas amat berdekatan dengan rongga sinus. Rongga
sinus yang terdapat di dalam tulang pipi ( dikenali sebagai
maxillary sinus ) merupakan rongga yang paling kerap mendapat
sinutisis akibat kerosakan gigi.

4) Di samping itu kajian menunjukkan tabiat menyelam dan

menyelam di air sungai atau kolam yang kotor serta laut yang
tercemar tutut menyumbang dan mengakibatkan penyakit ini.



Kaedah biopsy


KAEDAH BIOPSY

Melalui kaedah ini doktor biasanya mengambil sedikit dari tisu lump ini dengan menyucuk lump dengan jarum dan menyedut sedikit dari tisu ini.Apabila lump telah terluka jika ianya jenis maglinan ia akan menjadi mimpi ngeri buat wanita tersebut kerana sebelum sempat  ia diletakkan bawah mikroskop dan anda mendapat keputusan ujian pada keesokkan harinya sel2 kanser malignan ini telah pun keluar dari tisu yang terbuka ini untuk berhijrah kebahagian lain badan.

Sesetengah pakar payudara berpendapat apabila sel2 kanser ini dikesan olih sistem badan,badan akan menghasilkan perlindungan semulajadi dengan mengepung sel kanser ini dengan membungkusnya agar ia tidak segera menyerang organ2 badan yang lain.
Dengan kaedah biopsy anda sebenrnya membuka perisai ini.Doktor2 yang mengetahui mengenai kemungkinan ini akan segera membedah dan mengeluarkan lump tanpa mengamalkan kaedah biopsy.Walaupun ianya bukanlah 100 peratus kaedah yang terbaik kerana saki baki sel malignan yang terlepas hasil luka pembedahan ini akan berjaya juga menyelinap masuk kesaluran darah namun ia memberi banyak masa untuk menghadapi serangan seterusnya umpama memperteguhkan sistem imun dengan  suppliment anti kanser.
Kaedah BIOPSY adalah kaedah wajib bagi para doktor dalam menghadapi masaalah LUMP.Mereka akan menghadapi masaalah dengan lesen perubatan jika kaedah ini tidak dilaksanan.Namun keputusan harus terletak ditangan anda untuk merumuskan kaedah yang terbaik.
Jika anda ke hospital kerajaan yang kita sedia maklum akan kesesakkannya, doktor2 disana tidak akan terus melakukan pembedahan untuk mengeluarkan lump.Sebaliknya mereka akan menyedut sedikit cecair untuk dibuat analisis dan anda diminta balik kerumah dengan temujanji ditetapkan 1 bulan kemudian.Jika nsaib anda tidak baik dan ianya jenis malignan ia telah pun merebak keseluruh badan dan bermetasis didalam organ penting yang lain.
Dan treatmen selepas ini akan jadi berliku liku dan penoh dengan kesakitan.Kerana adalah lebih baik menghadapi kanser didalam koloninya dari menghadapinya dalam keadaannya yang telah tersebar.
Sesetengah sel kanser ini akan bersembunyi didalam tisu organ yang lain untuk beberapa tahun sebelum anda menyedari anda telah pun  mempunyai kanser tahap 3 atau 4 pada organ2 tertentu.
Olih itu anda perlu berhati hati dengan kaedah BIOPSY Pendapat doktor belum tentu semuanya BETUL dan menyeronokkan untuk didengar dan diikuti.Jika anda terpaksa menghadapinya juga,minta dibuang terus lumps dari payudara tanpa berlengah lengah.
Selepas itu ambil supplimen2 anti kanser dan perkuatkan sistem imun  dengan mengambil makanan yang kaya dengan anti oksidan.

Artikel dari: http://www.cafemlm.com/mengenai-kanser/biopsypunca-merebaknya-kanser-payudara

BIOPSY:PUNCA MEREBAKNYA KANSER PAYUDARA?


  Kanser payudara bermula dari apa yang dipanggil “LUMPS” iaitu benjolan lemak pada bahagian payudara. lUMPS ini pada asalnya adalah dalam bentuk cecair sebelum ia mengeras dan bertukar menjadi pepejal. Bagaimanakah cecair yang bertukar menjadi lumps ini hadir pada bahagian payudara?

Pakar kanser berpendapat cecair yang berada dalam bahagain2 tertantu payudara ini adalah sekumpulan sel2 yang tidak normal yang tiak dapat dimusnahkan olih sistem imun. Ada kajian menyatakan  bahagian payudara adalah bahagian yang paling lemah untuk antibodi badan berperanan.
Penyelidik juga menyatakan sel2 berada dalam keadaan berceleraru, mati atau jatuh sakit  apabila tidak cukup oxigen dalam darah. Ada banyak sebab2 luaran yang memungkinkan kurangnya oksigen dalam darah seperti kepenatan, stress,  permakanan yang tidak sihat serta bahan2 beracun yang kita gunakan setiap hari, umpamanya air berklorin.
Sejak lama dahulu penyelidikkan mengenai kanser payudara menyatakan 50 hingga 60 peratus wanita yang mengidap kanser payudara mengandungi elemen klorin  atau bahan2 sampingan klorin dalam tisu payudara. Klorin masuk kedalam badan melalui kulit terutamanya mereka yang gemar mandi air panas kerana tisu kulit mudah terdedah  dalam keadaan panas.
DR Robert Carlson penyelidik dari Universiti Minnesota menyatakan “Klorin adalah pembunuh utama  pada abad moden ini”.
Dalam keadaan ini bila sel2 yang tidak normal ini tidak dimusnahkan oleh antibodi, ia membentuk dan membelah dalam tisu payudara. Dalam keadaan yang lama tisu ini akan bertukar dari bentuk cecair kebentuk pepejal dan mendapat zat2 dan nutrien2 dari saluran2 halus darah  pada bahagian payudara.Dan bonjolan2 ini dikenali sebagai LUMPS.
Sesetengah wanita mempunyai sehingga 10 atau 20 lumps pada payudara mereka. Dan ini amat merbahaya kerana kemungkinan “lumps” jenis malignan adalah tinggi dari lumps jenis benign. Perlu diingat lumps jenis malignan berupaya merebak dan menyerang organ2 lain pada tubuh. Sementara lumps jenis benign tidak bersifat demikian dan biasanya ia selamat untuk dikeluarkan dari payudara.
Pengeluaran lumps dari payudara bukanlah merupakan suatu pembedahan  yang rumit. Ia bisa sahaja dibuat dalam masa tidak sampai satu jam dan tidak perlu kepada pelalian penuh. Namun perlu diingat pembedahan mengeluarkan lumps juga boleh sahaja bertukar menjadi mimpi ngeri jika ia dilakukan dengan kaedah2 yang somborono dan sikap sambil lewa.
Telah diperkatakan tadi lumps ini adakalanya bersifat maglinan dan benign. Jika anda mempunyai lebih dari satu lumps, bagaimanakah doktor membezakan lump yang berunsur malignan dan benign. Jalan mudah ialah mengeluarkan sedikit tisu lump untuk di teropong bawah mikroskop. Dan prosidur ini dikenali sebagai kaedah BIOPSY.



Artikel dari: http://www.cafemlm.com/mengenai-kanser/biopsypunca-merebaknya-kanser-payudara

Bahaya uri bawah rahim



Dr., apakah yang dimaksudkan dengan uri? Adakah berbahaya jika uri berada di bawah? Saya selalu mendengar rakan-rakan berbual tentang perkara ini. Saya baru mengandung dua bulan dan amat takut dengan perkara ini.
n Puteri R, Subang.
Jawapan:
Uri adalah organ yang terdapat di dalam rahim wanita hamil dan bertanggungjawab membawa oksigen dan nutrisi daripada ibu kepada bayinya. Kedudukan uri yang normal apabila ia berada di tengah atau di bahagian atas rahim. Ini bermakna ia jauh daripada kawasan bayi sepatutnya keluar dari rahim.
Uri di kedudukan bawah pula berada di kawasan bawah rahim, menutup ruang laluan bayi (pintu rahim) semasa kelahiran. Ini seterusnya akan memberikan komplikasi semasa proses bersalin.
Ia bukanlah sesuatu yang jarang ditemui di awal kehamilan kerana 20 peratus daripada uri berada di bawah pada awalnya, tetapi apabila kandungan berusia melebihi 28 minggu, kebanyakan uri sudah tertarik ke atas oleh rahim yang semakin membesar dan cuma lima peratus yang masih berada pada bahagian bawah rahim. Jika uri ini masih kekal di bawah, keadaan ini dipanggil Placenta Previa (PP).
Sekiranya uri anda masih di bawah selepas kandungan 28 minggu, tidak banyak yang anda boleh buat untuk menaikkannya. ke atas. Rawatan pula bergantung kepada tahap PP tersebut, sama ada ia menutup keseluruhan laluan bayi (pintu rahim) atau separuh sahaja. Tahap keseriusan dibahagikan kepada empat jenis iaitu uri berada di kedudukan bawah tanpa menutup pintu rahim, uri berada di bahagian rahim dan di pintu rahim, uri menutupi sebahagian pintu rahim dan uri menutup keseluruhan pintu rahim.
Sekiranya wanita mengalami PP jenis keempat, terdapat risiko tinggi kelahiran pramatang dan pendarahan. Kadang-kadang pendarahan boleh menjadi terlalu banyak sehingga membahayakan nyawa. Doktor selalunya memantau simptom pesakit dengan memasukkan mereka ke wad pada usia kandungan 32 minggu sekiranya terdapat risiko pendarahan yang tinggi. Sekiranya anda mengalami pendarahan tidak normal dari faraj, cepat-cepatlah berjumpa dengan doktor untuk memastikan yang anda tidak mengalami PP.
Risiko
Sehingga hari ini, punca berlakunya PP tidak diketahui. Namun terdapat beberapa keadaan yang meningkatkan risiko PP, iaitu wanita yang mempunyai sejarah kelahiran secara pembedahan sebelum ini, wanita yang melahirkan anak secara kerap dan bilangan yang ramai, wanita muda di bawah umur 20, merokok semasa hamil dan kandungan kembar.
Wanita yang mengalami PP pada kebiasaannya mengalami kedudukan bayi tidak normal (mungkin melintang, songsang atau oblik). Kedudukan kepala bayi perlu sentiasa berada di atas rongga pelvis di saat tempoh matang kehamilan.
Selain masalah pendarahan yang membimbangkan, faktor lain yang mempengaruhi keadaan ibu adalah kaedah kelahiran bayi itu sendiri. Mereka ini biasanya tidak dapat melahirkan bayi secara normal akibat kedudukan uri yang menghalang kelahiran bayi melalui bukaan pintu rahim. Pembedahan caesarean adalah kaedah yang disyorkan. Selain itu, jika keadaan ibu membimbangkan akibat pendarahan, pembedahan caesarean terpaksa dijalankan walaupun dalam keadaan kehamilan yang tidak cukup bulan.
Apa yang membimbangkan mengenai PP ini, komplikasi yang boleh timbul pada bayi dan ibu. Komplikasi pada bayi adalah seperti pendarahan yang banyak pada ibu. Ini boleh meningkatkan kadar morbiditi dan kematian pada bayi dan meningkatkan risiko lahir tidak cukup bulan.
Komplikasi pada ibu pula pendarahan serius yang boleh mengancam nyawa. Pembedahan caesarean, meningkatkan risiko pendarahan selepas bersalin (postpartum haemorrhage) dan meningkatkan risiko uri melekat pada rahim. Keadaan uri melekat pada rahim dikenali sebagai placenta accreta. Dalam keadaan ini uri tidak boleh dipisahkan daripada dinding rahim akibat sebahagian tisu uri telah melekat pada otot-otot rahim. Jika ini berlaku, rahim terpaksa dibuang demi menyelamatkan ibu.
Bagaimanapun, risiko placenta accreta dalam kalangan ibu yang tidak mempunyai sejarah pembedahan pada rahim hanyalah sekitar lima peratus sahaja.
Bagaimanapun jika seseorang itu mempunyai sejarah pembedahan di rahim umpamanya caesarean, risiko placenta accreta bertambah 25 peratus.
Selamat
Dalam menangani PP, doktor akan mengesyorkan ibu supaya melahirkan kandungan dengan kaedah yang selamat, iaitu pembedahan caesarean. Bagaimanapun apabila pembedahan itu harus dilakukan, ia bergantung kepada penilaian dan faktor-faktor berikut iaitu tahap keseriusan pendarahan, usia bayi dalam kandungan dan juga sokongan perkhidmatan pediatrik.
Kebiasaannya jika seseorang ibu yang mengalami PP tetapi tiada pendarahan, pembedahan caesarean secara elektif akan dilakukan pada minggu ke 38 usia kandungan. Jika pendarahan berlaku sebelum usia kandungan tersebut, keputusan pembedahan akan dibuat oleh pakar setelah mempertimbangkan faktor-faktor di atas.
Saya harap Puteri R sudah jelas dengan penjelasan yang diberikan dan jangan mendengar bualan rakan-rakan sahaja. Anda perlu mendapatkan nasihat doktor dan semoga penjelasan yang diberikan akan menghilangkan kegusaran tersebut.



http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0527&pub=Utusan_Malaysia&sec=Kesihatan&pg=kn_01.htm

Kerajaan mahu gubal akta antiobesiti


Posted on the May 19th, 2012 under Tempatan by admin
KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan bercadang mewujudkan undang-undang antiobesiti menjelang 2020 sebagai usaha membendung peningkatan mendadak kes penyakit tidak berjangkit (NCD) dalam kalangan rakyat Malaysia.
Timbalan Pengarah Kawalan Penyakit Tidak Berjangkit Kementerian Kesihatan, Dr Zainal Ariffin Omar berkata, pihaknya kini sedang mendapatkan maklum balas daripada orang ramai dan pihak berkaitan sebelum undang-undang berkenaan boleh dilaksanakan.
“Beberapa hari lalu, Kementerian Kesihatan ada membincangkan mengenai kerangka kerja bagaimana untuk melaksanakan undang-undang antiobesiti.
“Dalam perbincangan tersebut, Jepun dilihat sebagai model terbaik kerana mereka mempunyai ukuran pinggang kebangsaan yang komprehensif,” katanya ketika ditemuramah dalam program ‘Dalam Radar’ terbitan Bernama Radio24 hari ini.
Dr Zainal berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai peningkatan mendadak kes NCD dalam kalangan rakyat Malaysia yang kini mencapai tahap membimbangkan.
Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2011 mendapati, kira-kira 5.8 juta rakyat Malaysia menghidap hipertensi, 2.6 juta orang (kencing manis) dan 2.5 juta penduduk mengalami masalah obesiti. – Bernama

http://www.harian-metro-online.com/kerajaan-mahu-gubal-akta-antiobesiti

Kerjasama ECPI dan Majlis diabetes Malaysia (MADIM)


Psoriasis..Apakah tiada ubat


Psoriasis Tiada Ubat.., Usah Kecewa Setiap Penyakit Ada Ubatnya

thumbnail

pix_middle
GANGGUAN FIZIKAL... kulit berwarna merah menggelupas sebelum  menjadi kepingan  berwarna putih keperangan.
GANGGUAN FIZIKAL... kulit berwarna merah menggelupas sebelum menjadi kepingan berwarna putih keperangan.

Sel kulit mati tidak sekata


RENDAH diri, malu, tertekan dan terasing antara perasaan yang dialami pesakit kulit psoriasis. Apabila penyakit menyerang, perasaan tidak mahu langsung berjumpa orang ramai membuak dalam diri.
Kulit pesakit akan menjadi berbintik atau membengkak, bertompok merah dan kulit pada bahagian berkenaan menebal serta keras. Ada kalanya tompokan sel ini berubah menjadi hitam akibat kehadiran melanin.
Dalam masa beberapa hari, kulit yang tebal menjadi tua dan apabila sel mati, ia tertanggal sendiri sebagai kepingan putih berkilat. Bahagian kulit yang tebal ini juga akan terasa gatal dan panas seolah-olah terbakar.

Perunding Dermatologi dan Pakar Bedah Laser, Dr Mohd Noh Idris, berkata psoriasis adalah penyakit kulit disebabkan proses penggantian kulit berlaku terlalu cepat, iaitu dalam masa tiga atau empat hari, berbanding individu normal yang mengambil masa lebih kurang 30 hari.

“Psoriasis ialah penyakit yang tidak boleh sembuh tetapi rawatan jangka panjang mampu mengawal penyakit ini. Adakala ia wujud dan sebaliknya. Ia berlaku disebabkan faktor keturunan, misalnya jika ibu bapa menghidap penyakit sama, kebarangkalian anak mendapat penyakit itu mencecah 70 peratus.

“Kepala, siku, lutut, tubuh badan dan muka pula antara bahagian yang sering diserang psoriasis, malah dianggarkan 30 peratus penyebab kepada penyakit sendi,” katanya ketika ditemui di Klinik Pakar Kulit miliknya di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur.

Beliau berkata, punca sebenar psoriasis masih tidak diketahui hingga kini, tetapi ia dipercayai mempunyai komponen genetik tinggi.

Antara faktor lain menjadi penyebab psoriasis bertambah buruk ialah tekanan, berhenti mengambil kortikosteroid, pengambilan alkohol yang berlebihan, merokok, jangkitan, kecederaan kulit dan tindak balas terhadap bahan kimia atau ubat-ubatan tertentu.

“Tahap jangkitan psoriasis bermula daripada tompok kecil pada satu bahagian hinggalah ke seluruh permukaan badan. Psoriasis menyebabkan tompok bersisik dikenali sebagai plak psoriatik dan ia adalah bahagian keradangan dengan pengeluaran kulit berlebihan.

“Seterusnya, kulit menjadi tebal dan keras di kawasan radang ini serta mengakibatkan sel mati berwarna perak. Ia sering didapati di siku, lutut, tetapi juga boleh dijangkiti di mana-mana bahagian badan termasuk kulit kepala, punggung, tapak kaki dan kemaluan,” katanya.

Sesiapa saja tanpa mengenal jantina dan umur boleh diserang penyakit ini. Begitupun, kebiasaannya ia berlaku buat pertama kalinya pada peringkat umur antara 15 hingga 25 tahun.

Luka radang pula boleh menimbulkan rasa pedih, gatal dan menyebabkan bahagian berkenaan kelihatan hodoh. Malah, psoriasis menggugat fizikal dan emosi pesakit.

Apabila ia berlaku, kulit menjadi merah, tebal (akibat berlebihan sel), keras dan menggelupas sebelum tanggal sebagai kepingan nipis berwarna putih keperangan.

Ia juga menyebabkan kulit menjadi gatal dan membuatkan pesakit sering menggaru hingga berdarah. Gejala ini juga bergantung kepada tahap dan bahagian yang diserang psoriasis.

Pesakit juga mungkin mengalami ketidakselesaan dan kecacatan fizikal yang kecil atau besar. Kegatalan dan kesakitan boleh mengganggu fungsi asas seperti penjagaan diri, berjalan dan tidur.

Pesakit psorisis juga alah kepada cahaya matahari. Jika terdedahkan, kulit akan menjadi merah jambu seperti warna ikan salmon manakala plak yang timbul pada bahagian tangan dan kaki juga mungkin menyebabkan pergerakan individu terbatas, terutama dalam bersukan, malah aktiviti riadah.

Plak yang tumbuh di bahagian kulit kepala pula boleh menjadi perkara memalukan disebabkan kepingan bersisik yang boleh menjadi kelemumur. Individu yang mengalami psoriasis mungkin berasa malu mengenai diri mereka dan mempunyai rasa rendah diri bimbang dijauhi masyarakat atau kebimbangan mengenai psikoseksual.

Kajian dilakukan Yayasan Psoriasis Kebangsaan Amerika Syarikat bersama 426 pesakit psoriasis pada 2008 menyatakan, 71 peratus menganggap penyakit ini menjadi masalah besar dalam kehidupan seharian mereka.

Pada masa sama, kajian berasingan melaporkan psoriasis juga memberi kesan terhadap kualiti kehidupan berasaskan kesihatan, terutama kepada 10 hingga 30 peratus pesakit, yang juga mungkin mengalami artritis psoriatik.

Dianggarkan 10 hingga 15 peratus pesakit muda mula mengalami masalah kulit sebelum berumur 10 tahun dan tahap serangan psoriasis ditentukan berdasarkan keadaan fizikal dan keluasan kulit yang mengalami keradangan.

Ia juga mengakibatkan kesan buruk terhadap penyakit kronik lain, misalnya kemurungan, bengkak jantung (myocardium infarction), hipertensi, kegagalan jantung kongestif atau kencing manis. Pesakit yang menghidapi psoriasis teruk juga biasanya mempunyai jangka hayat lebih pendek.

Jelas Noh, ramai masih keliru dan takut terhadap penyakit ini walaupun sebenarnya, ia tidak berjangkit.

Katanya, orang ramai tidak perlu risau jika berdepan kawan atau saudara mara kerana mereka juga seperti individu lain.

“Psoriasis bukan penyakit berjangkit dan ini satu fakta penting yang perlu disebarkan kepada umum supaya tanggapan dan kebimbangan mengenai penyakit itu dapat diperbetulkan.

“Mengenai rawatan, pesakit biasanya hanya diberi krim bergantung kepada tahap penyakit masing-masing. Methotrexate, Neotigason, Cyclosporine and Calcipatriol adalah ubat krim yang biasa diberi kepada pesakit,” katanya.

Jenis psoriasis:


  • Paling lazim adalah psoriasis yang bertompok
  • Jenis teruk yang memerlukan rawatan di hospital dipanggil erythrodermic psoriasis
  • Lampin psoriasis
  • Pustular psoriasis
  • Guttate psoriasis
  • Plaque psoriasis

    Mitos umum mengenai psioriasis:


  • MITOS 1: Psoriasis berjangkit.
    Hakikatnya: Psoriasis, terutama dalam bentuk sederhana atau teruk, mudah kelihatan di permukaan kulit. Disebabkan pertumbuhan abnormal sel kulit, tompok merah bersisik di kulit akan kelihatan.

    Bagaimanapun, psoriasis tidak berjangkit. Anda tidak boleh dijangkiti penyakit ini daripada orang lain dan tidak boleh memindahkannya kepada orang lain hanya dengan menyentuh mereka atau dekat dengan mereka.







  • MITOS 2: Psoriasis hanya penyakit kulit. Satu masalah kosmetik.
    Hakikatnya: Psoriasis ialah penyakit kronik dalam sistem imuniti badan yang menyebabkan pertumbuhan sel kulit tidak normal.
    Sel kulit biasa matang dalam masa 28 hingga 30 hari dan ia gugur daripada permukaan kulit. Tanpa disedari, sel kulit psoriatik mengambil masa hanya tiga hingga empat hari untuk matang dan timbul di permukaan kulit, menyebabkan sel berlapis dan membentuk luka bersisik.
    Luka psoriasis mengakibatkan kepedihan dan kegatalan, dan ia boleh pecah dan berdarah. Dianggarkan 30 hingga 50 peratus pesakit psoriasis menghidap artritis psoriasis yang menyebabkan kesakitan, kekejangan dan bengkak sekitar sendi.
  • MITOS 3: Psoriasis hanya memberi kesan kepada pesakit secara fizikal.
    Hakikatnya: Selain masalah fizikal, wujud juga kesan psikologi dan emosi dialami pesakit psoriasis. Mereka sering dilaporkan mengalami perasaan tidak berdaya, putus harapan, marah, kekecewaan dan kemurungan berkaitan keadaan kulit mereka dan bagaimana reaksi orang lain terhadap keadaan mereka.
    Ada pesakit yang menghidap psoriasis teruk mengalami tekanan sehingga ingin membunuh diri. Pesakit juga sering membandingkan kecacatan mereka dengan pesakit yang menghidapi penyakit kronik seperti kencing manis atau penyakit jantung.
  • MITOS 4: Psoriasis disebabkan tidak menjaga kebersihan.
    Hakikatnya: Psoriasis juga penyakit sistem imuniti badan dan tiada kena-mengena dengan faktor kebersihan. Punca yang boleh menyebabkan psoriasis termasuk jangkitan, tekanan atau kebimbangan, perubahan hormon, kecederaan kulit, alkohol, obesiti, pemakanan tidak sihat, dan ubat-ubatan tertentu.
  • MITOS 5: Psoriasis boleh diubati.
    Hakikatnya: Psoriasis penyakit kronik yang dialami seumur hidup.

    Tiada ubat yang boleh menyembuhkannya buat masa ini tetapi dengan pilihan rawatan terbaru dan sedia ada yang dipertingkatkan, pesakit kini mempunyai pelbagai kaedah untuk membantu mengawal simptom ini.
  • MITOS 6: Psoriasis mudah didiagnosis.
    Hakikatnya: Kebanyakan keadaan yang memberi kesan kepada kulit kelihatan lebih kurang sama, contohnya simptom awal psoriasis, seperti kegatalan dan tompok merah, kelihatan sama seperti ekzema atau atopik dermatitis.
  • MITOS 7: Psoriasis tidak boleh diwarisi.
    Hakikatnya: Anggaran 40 hingga 60 peratus pesakit mempunyai hubungan genetik. Begitupun, kecenderungan genetik tidak bermakna seorang individu akan mendapat penyakit itu.
    Faktor yang boleh mencetuskan penyakit ini termasuk kecederaan atau infeksi yang mungkin bertindak dengan beberapa gen, atau corak keturunan spesifik gen, seterusnya bertindak balas menyebabkan psoriasis.

  • Usah Kecewa Setiap Penyakit Ada Ubatnya,Berusahalah...


    Artikel dari: http://adanaberkat-petuaideadanpandangan.blogspot.com/2012/01/psoriasis-tiada-ubat-usah-kecewa-setiap.html
    Platform Produk Dropship dan Borong Malaysia