3420 MATI Akibat Tidak Amalkan Gaya Hidup Sihat


Kredit: SinarHarian.com.my

MUAR – Seramai 3,420 pesakit kronik tahun lalu, meninggal dunia berikutan kegagalan mereka mengawal tabiat makan dan tidak mengamalkan gaya hidup sihat.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan Kesihatan negeri, Dr Robia Kosai berkata, ‘pembunuh’ terbesar adalah penyakit berkaitan pernafasan dengan mencatatkan 1,226 kematian.
Menurutnya, ia diikuti penyakit kanser dengan 810 kematian, jantung dengan 637 kematian dan kencing manis dengan 83 kematian.
“Penyakit-penyakit ini tidak berjangkit tetapi bilangan kematian akibat penyakit ini sangat membimbangkan sejak kebelakangan ini.
“Kecuali untuk diabetes, penyakit lain telah ‘membunuh’ seorang kanak-kanak kecil berusia satu tahun,” katanya ketika menyampaikan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) di Parit Jawa, di sini, kelmarin.
Dr Robia berkata, negeri ini mencatatkan sebanyak 131, 287 kes terbaru penyakit diabetes tahun lalu, yang mana 98,864 daripada mereka diberikan rawatan si hospital dan klinik seluruh Johor.
Katanya, penyakit darah tinggi juga mencatatkan bilangan tinggi dengan 129,965 kes baru tahun lalu dengan 117,628 dianggap sebagai kes-kes yang aktif.
“Selain penyakit kronik, negeri ini juga prihatin terhadap peningkatan bilangan rakyat terutama anak-anak muda yang mempunyai berat badan berlebihan.
“Seramai 8,012 rakyat negeri ini diklasifikasikan sebagai ‘sangat gemuk’ dan menggesa keluarga supaya mematuhi diet dan mengurangkan penggunaan gula,” katanya.
Katanya, lelaki berusia bawah 40 tahun lebih cenderung untuk menghidap penyakit berbanding wanita. Ia dibuktikan apabila 54 lelaki meninggal dunia akibat penyakit strok berbanding 21 daripada golongan wanita.
Menurutnya, memandangkan bilangan kematian akibat penyakit kronik semakin meningkat mendorong kerajaan negeri mengambil keputusan untuk melancarkan beberapa program berkaitan kesihatan termasuk tatacara pemakanan sihat.
“Kita akan periksa kanak-kanak sekolah dua kali setahun untuk memantau obesiti dan mereka yang mempunyai masalah berat badan berlebihan akan dirujuk kepada Jabatan Kesihatan.
“Kami juga akan menganjurkan program-program yang berkaitan dengan diet yang sihat dan menggesa semua orang untuk mengawal tabiat makan mereka,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen anda: