Punca enggan jalani pemeriksaan



PUTRAJAYA – Enggan mengubah gaya hidup adalah antara faktor sesetengah penghidap diabetes di negara ini enggan melakukan pemeriksaan diagnosis.
Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Kesihatan Awam dan Penyakit Tidak Berjangkit Kementerian Kesihatan, Dr Feisul Idzwan Mustapha berkata, mereka adalah antara 1.3 juta rakyat Malaysia yang tidak tahu mereka menghidap diabetes.
"Sesetengah pesakit enggan menjalani pemeriksaan kesihatan atau didiagnos kerana takut gaya hidup mereka terjejas. Mereka tak nak makan ubat, pantang makan atau kehidupan dikongkong,” katanya kepada pemberita, di sini semalam.
Katanya, sikap sedemikian perlu diubah memandangkan diabetes boleh mengakibatkan komplikasi serius kepada penghidap.
"Jangan tunggu simptom baru nak datang buat pemeriksaan,” katanya yang ditemui selepas membentangkan kertas kerja ”Mengubah Haluan Diabetes di Malaysia” ketika taklimat media mengenai diabetes di Hospital Putrajaya.
Dr Feisul Idzwan berkata, Malaysia antara negara yang mempunyai bilangan penghidap diabetes tertinggi di dunia yang mana 2.6 juta atau 20.8 peratus rakyat berusia 30 tahun ke atas menghidapi penyakit itu. – BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen anda: